Monday, October 19, 2009

Manfaat teknologi Komputer

1. Manfaat teknologi komputer

(a) Kemajuan sistem pengurusan dan pentadbiran

- Ini kerana komputer merupakan satu alat elektronik yang boleh menyimpan maklumat yang banyak dengan cara yang teratur serta dapat diproses dan dikeluarkan dalam masa yang singkat.
- Teknologi komputer bukan sahaja dapat menjimatkan masa,ruang dan tenaga manusia, bahkan meningkatkan kecekapan pengurusan sesebuah organisasi. Sebab itulah banyak agensi kerajaan dan swasta menggunakan komputer untuk menyimpan rekod dan menganalisis data-data penting yang berkaitan dengan butir-butir kakitangan serta hal-hal pentadbiran dan pengurusan.

(b) Kemajuan sektor perindustrian

- Barang yang dihasilkan dengan menggunakan komputer bukan saja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih menjimatkan masa berbanding dengan keupayaan semulajadi manusia. Ini penting terutamanya di negara-negara maju yang mengalami masalah kekurangan tenaga buruh.
- Teknologi komputer dapat menjamin kualiti barangan yang dikeluarkan. Komputer boleh menguji mutu barangan dengan tepat dan pantas daripada yang dapat dilakukan oleh tenaga manusia.
- Komputer boleh membantu manusia melaksanakan kerja-kerja yang sukar dan merbahaya kepada kesihatan dan keselamatan pekerja. Misalnya robot yang dikawal oleh komputer digunakan untuk memasang kereta atau menjalankan kerja-kerja yang terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif.
Maka jelaslah bahawa penggunaan komputer merupakan asas untuk perkembangan industri perkilangan.

(c) Kemajuan kesihatan

- Tujuannya untuk membantu doktor membuat diagnosis sesuatu penyakit. Sebabnya komputer boleh memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya mendiagnosis jenis penyakit yang dihadapinya. Komputer juga boleh memberi maklumat tentang jenis ubat yang paling sesuai untuk merawat penyakit berkenaan.
- Dalam rawatan kesihatan khasnya semasa pembedahan, teknologi komputer telah memberi sumbangan yang besar dari segi melicinkan kerja pembedahan. Umpamanya bacaan denyutan jantung dan analisis gambar sinar-X pesakit boleh dibuat secara serta-merta dengan peralatan komputer. Ini membantu menjamin kejayaan sesuatu pembedahan dan keselamatan pesakit.

(d) Kemajuan sains dan teknologi

- Pelancaran satelit yang dikawal oleh komputer dapat mengumpul data-data penting mengenai persekitaran bumi.
Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh komputer untuk menghasilkan keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti halaju angin dan kelembapan sesuatu kawasan. Ramalan kajicuaca yang lebih tepat ini membantu manusia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman malapetaka seperti banjir dan taufan.
- Di samping itu satelit yang bergerak di bawah kawalan komputer juga dapat memajukan sistem telekomunikasi.Maklumat dari sesuatu kawasan boleh dihantar ke seluruh dunia dengan pantas. Ini juga yang membolehkan sesuatu acara sukan atau pertandingan disiarkan secara langsung ke segenap pelosok dunia.

(e) Kemajuan pendidikan

- Komputer merupakan alat bantuan mengajar yang penting. Ia bukan sahaja dapat menyampaikan pengajaran dalam bentuk yang sistematik, malahan diiringi dengan muzik dan gambarajah serta bahan grafik yang menarik. Teknik pengajaran begini pasti akan menarik minat para pelajar terhadap pelajaran.
- Komputer juga memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran, kerana pelajar boleh mempelajari sesuatu pelajaran secara individu melalui program-program komputer yang disediakan. Dengan adanya program tertentu, segala arahan dan peraturan pelajaran disampaikan dengan jelas. Maka pelajar boleh belajar di mana-mana sahaja dengan berpandukan arahan itu.
- Satu lagi keistimewaan dalam pembelajaran menerusi komputer ialah segala kesalahan yang dilakukan oleh pelajar boleh dikesan dan diperbetulkan dengan serta- merta oleh komputer. Dengan cara ini keberkesanan pembelajaran dapat ditingkatkan.

Alan! Tulis karangan ini dan hantar kepada Cikgu.. XD

0 comments: