Wednesday, October 21, 2009

Amalan Menabung

Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita?
“Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah,”begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era millieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke dapen dengan tidak berlengah-lengah. Marcapada, pencapaian kebendaan dan kebendaan telah menjadi arah tuju ke Wawasan 2020. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabuing ini diharapkan terbawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana “ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?
“Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Mereka merupakan ‘pencipta’ insan yang baharu ini. Anak-anak masih bersih daripada apa-apa sahaja unsure jahiliah. Mereka datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam batin anak-anak. Ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.
Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruh apabila mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi dan nasihat ini “bagai mencurahkan air ke daun keladi”. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mangajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi? Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam batin anak-anak sejak kecil kerana “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa perlu membarikan ajaran dan didikan agama juga. Tidak mengira apa-apa agama, sama ada agama Islam, agama Kristian, agama Buddha atau agama Hindu, semua agama ini menyebarkan matlamat yang sama, iaitu membentuk individu yang berwibawa, berketrampilan, bersahsiah mulia, dan berkarismatik. Oleh itu, kanak-kanak yang berada di bawah pengaruh agama ini mestilah mampu mengelakkan diri daripada unsur negatif dan budaya Barat yang bercanggah dengan norma masyarakat tempatan. Ibu bapa perlu mengajar dan memberitahu tempat pelabuhan emosi yang terumbang-ambing dalam kepelbagaian masyarakat ini. Kebatian diri yang utuh merupakan senjata yang paling ampuh untuk melindungi diri daripada sebarang kemungkaran. Ibu bapa perlu senantiasa menerapkan ajaran agama dari semasa ke semasa dan tidak putus asa, bak kata peribahasa Melayu, “patah sayap bertongkak paruh, patah paruh bertelekan”. Oleh itu, ajaran agama perlu diterapkan sebagai usaha sinergi untuk memupuk amalan menabung.
“Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapkan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya, ibu bapa berperanan untuk menunjukkan contoh baik sebagai teladan anak-anak. Ibu bapa sendiri harus mengamalkan sikap menabung. Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Anak-anak mudah terikut-ikut oleh tingkah laku ibu bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga. Cuba anda bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereaka sendirilah yang boros dan tidak pandai menguruskan wang? Hal ini jelas menunjukkan betapa pentingnya imej yang didirikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan “bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.
“Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruh anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan ini manjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada hati semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sabagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda barakhlak yang merupakan tonggak aspirisi untuk menerajui Negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”.

2 comments:

Anonymous said...

this karangan is AWESOME.....

Anonymous said...

Izinkan saya untuk mengambil karangan ini. ^_^